Archive for July, 2007

10 Laman Web Terbaik

Posted in sample best website on July 2, 2007 by y@+

Setelah menjadi pengguna Internet khususnya Web selama lebih kurang 5 tahun, saya sudah tentu mempunyai senarai alamat-alamat (URL) laman Web yang saya gemari kerana rekabentuknya yang menarik, maklumat atau perkhidmatannya yang berguna atau isi kandungannya yang menghiburkan. Dengan erti kata lain saya telahpun menandakan alamat-alamatnya di dalam menu “bookmark” atau “Favorites” di dalam pelayar Web (browser) saya. Kompilasi “Laman Web Terbaik” saya ini juga berdasarkan kepada statistik pelawat yang telah disediakan oleh beberapa laman Web statistik Internet. Kategori kali ini adalah untuk permainan, Internet, direktori Web dan enjin pencari. Dalam keluaran-keluaran Majalah PC yang akan datang, sepuluh laman Web terbaik dalam setiap kategori akan di bentangkan setiap bulan. Susunan laman-laman Web yang berikut ini tidak disusun menurut kepentingannya.

Happy Puppy
Anda akan dapat tahu segala-galanya mengenai permainan komputer jika anda singgah ke laman Web Happy Puppy Anda juga boleh membeli permainan untuk Nintendo 64 atau Sony PlayStation, memindah terima perisian permainan demo atau shareware. Melalui laman Web ini juga anda boleh bermain dengan pemain-pemain dalam talian yang lain melalui Internet. Dalam laman Web ini juga terdapat panduan, tips, “cheats” (kod pintas), iklan kerja, ruangan borak dan akhbar mingguan yang dihantar melalui e-mel. Selain daripada Happy Puppy anda juga boleh singgah ke laman-laman Web permainan yang lain seperti GameSpot dan CNET’s Gamecenter.com untuk mendapat maklumat , berita dan reviu mengenai permainan-permainan yang terkini.

CNET
CNET boleh dikatakan laman Web yang terbaik dalam penyediaan maklumat yang berkaitan dengan dunia komputer. CNET mempunyai misi untuk menolong pengguna IT dalam penggunaan komputer mereka seharian melalui laporan-laporan khas mengenai pelbagai topik seperti e-mail percuma terbaik, perkakasan terbaik dan pemilihan penyedia perkhidmatan Internet. Ia juga menyediakan beberapa alamat-alamat Web yang memang tidak asing lagi di kalangan peminat komputer iaitu download.com yang menyediakan reviu dan lokasi perisian shareware , computers.com yang menyediakan panduan membeli komputer dan peranti-perantinya dan builder.com yang menyediakan maklumat dan tunjuk ajar untuk pembina laman Web.
ZDNet
ZDNet pula merupakan pusat untuk berita dan rencana mengenai komputer, ZD atau Ziff Davis sebenarnya adalah penerbit pelbagai majalah komputer seperti PC Magazine, PC Computing, Computer Shopper, FamilyPC dan Yahoo Internet Life. Ia mempunyai banyak reviu-reviu produk IT di mana sistem ujikaji dan reviu produk ZDNet telah diterima sebagai sebuah piawaian industri. Anda juga boleh mendapatkan perbandingan produk, memindah terima perisian dengan percuma, melabur dalam talian, panduan pelayari laman Web, panduan untuk pembina laman Web dan juga kepada peniaga industri kecil dan professional industri IT.

Winfiles
Untuk pengguna Windows tidak kira 95, 98, NT, atau CE, laman Web Winfiles ini merupakan sumber fail-fail yang berguna. Ia juga mengandungi tips, pintasan (shortcut) dan cara mengguna sistem pengoperasian Windows keluaran Microsoft ini. Ia juga mempunyai segmen-segmen untuk mengatasi pepijat dan bagaimana untuk memperbaiki perisian Windows yang bermasalah. Anda juga boleh memindah terima perisian-perisian dan juga driver-driver untuk pelbagai perkakasan.
Mac Fix It
Untuk pengguna Macintosh pula terdapat laman Web MacFixIt yang penuh dengan berita-berita terkini dan pelbagai panduan kepenggunaan produk Macintosh. Dalam laman Web ini juga anda boleh memindah terima fail-fail penting untuk Macintosh anda. Ia juga mempunyai maklumat terkini mengenai Mac OS 8.5.1 dan juga masalah-masalah yang timbul dan bagaimana untuk mengatasinya. .

Yahoo!
Yahoo! merupakan salah sebuah direktori Web yang tertua dalam Internet dan ia merupakan Web Portal atau Mercu Tanda Web yang paling digemari oleh peluncur Web di seluruh dunia. Ia mempunyai senarai laman Web menurut kategori dan direktorinya mempunyai struktur hirarki yang dibahagikan kepada 14 topik utama dan seterusnya terbahagi kepada ribuan subtopik. Jika anda gagal mendapatkan sebarang maklumat menerusi topik-topik ini, anda boleh menggunakan enjin pencari Inktomi yang telah disediakan dan juga untuk mendapatkan keputusan daripada enjin pencari lain seperti AltaVista, Deja News, HotBot dan Infoseek. Selain daripada Yahoo, anda juga boleh menggunakan direktori Web seperti Excite dan Lycos, di mana kedua-dua laman Web direktori ini mempunyai cara tersendiri untuk mengkategorikan laman-laman Web.

Alta Vista
Walaupun terdapat banyak engin-enjin pencari, tetapi AltaVista masih mampu mempertahankan kejaguhannya dalam bidang ini. Kepantasan dan ketepatan pencariannya memang sukar untuk ditandingi engin-engin pencari yang lain. Ia telah mengindeks pelbagai tapak Web dan indeknya ini melebihi kebanyakan index engin-engin pencari yang lain.. Ia juga menggunakan teknologi bahasa semulajadi daripada Ask Jeeves, di mana anda boleh terus menaip soalan dan mendapatkan jawapan yang sesuai dengan soalan anda. Contohnya “What is the Internet?” (apakah itu Internet). Anda juga boleh mencari laman Web yang dikehendaki dengan menggunakan index AltaVista yang mengandungi jutaan alamat laman Web yang diindeks secara individu.

HotBot
Sebuah lagi enjin pencari yang semakin popular adalah HotBot dan ia dihasilkan oleh sebuah majalah komputer yang terkenal iaitu Wired. Ia berkemampuan mencari dengan pantas dan bijak serta memaparkan keputusan dengan sistematik dan tersusun. Ia mengkategorikan maklumat kepada empat bahagian iaitu Stay Informed (News, Sports, Entertainment, Reference, Health); Plan a Purchase (Cars, Home & Real Estate, Travel, Shopping Directory); Manage Your Money (Finance, Jobs, Business, Education) dan Use Technology (Computers, Downloads & Games). Hotbot juga ada menyediakan perkhidmatan e-mel dan laman Web percuma.

GeoCities
GeoCities adalah pelopor perkhidmatan penghosan laman Web secara percuma. Ia sering dinamakan sebagai sebuah ‘negara’ dalam Internet yang mempunyai lebih daripada sejuta ahli yang terdiri daripada 5,000 komuniti yang dipanggil homesteaders yang sering datang hampir setiap hari untuk membina atau mengubah laman-laman Web mereka atau menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan yang lain. Capaian pengguna (hits) Geocities mampu mencecah sejuta capaian setiap hari. Untuk membina laman Web dalam Geocities anda perlu mendaftar diri dengan laman Web ini, ia juga menyediakan bantuan dan tunjuk ajar tentang cara-cara membina laman Web.

Tripod
Laman Web Tripod merupakan penghos percuma laman Web yang kedua terbesar selepas Geocities. Maklumat dan tunjuk ajarnya mengenai pembinaan laman Web boleh dianggap diantara yang terbaik dalam Internet.

Bagaimana Web bernyawa

Posted in general knowledge about website on July 2, 2007 by y@+

Bayangkan maklumat yang anda akan terlepas jika sehari anda tidak melayari Internet. Kebanyakan antara kita mengambil ringan maklumat yang boleh didapati melalui perantaraan pelayar Web seperti ramalan cuaca, maklumat saham, muzik terkini dan berita semasa.

Kira-kira 3 tahun lalu, ia mengambil masa yang lama untuk mendapatkan maklumat-maklumat tersebut. Ada di antara berita yang dapat dicapai sudah lapuk dan bukan maklumat yang terkini. Banyak perubahan telah berlaku kepada keupayaan capaian Internet sehinggakan anda boleh mendapat maklumat dengan mudah dalam satu jangka masa yang pendek.

Segalanya adalah disebabkan oleh pelayar Web. Kewujudan WWW atau “World Wide Web” dan pelayar Web telah memungkinkan penggunaan Internet secara berleluasa serta mudah. Anda tentu tidak mahu melayari Web jika maklumat yang dipaparkan semata-mata teks dan tiada gambar atau grafik. Penggunaan grafik dan penggunaan tetikus untuk memandu arah mendorong pengguna melayari Internet untuk mendapatkan maklumat. Dalam lain erti kata lain, pelayar Web memainkan peranan sebagai media penghubung di dalam Internet.

Asas Pelayar Web

373236939_b7b355e89e.jpg

Anda perlu terlebih dahulu memahami teknologi disebalik Web, bagi membolehkan anda memahami bagaimana pelayar Web berfungsi.

Sebelas tahun yang lalu (1990), Tim Berners-Lee, yang ketika itu bekerja dengan CERN (pusat ujikaji fizik di Eropah) di Geneva, mendapat idea membolehkan manusia berkongsi pengetahuan dan kerja dengan bantuan dokumen bersambungkan hiperteks. Projek ini dipanggil WWW (World Wide Web) yang bermula di dalam tahun 1989. Pada Oktober 1990, Berners-Lee telah menulis perisian untuk pelayan Web dan pelayar Web yang pertama.

Hiperteks

Kunci utama kepada Web ialah hiperteks. Terma hiperteks mula diperkenalkan oleh Ted Nelson di pertengahan tahun 1960an. Hiperteks menyambungkan dokumen di dalam Web antara satu sama lain melalui hiperlink. Di dalam Web, sambungan hiper (hyperlink) merupakan kawasan di mana apabila diklik padanya ia akan membawa anda ke dokumen lain. Misalnya, sambungan hiper di dalam laman Web akan bergaris dan menandakan ia merupakan satu sambungan. Contohnya, sambungan hiper yang berlabel ‘Profail’, akan buka dokumen yang mengandungi profail anda apabila diklik.

Protokol

Apabila Berners-Lee mula membangunkan produk Web pertama, Unix merupakan sistem network yang digunakan. Secara piawai, TCP/IP (Transmission Control Protocol/Internet Protocol) menjadi protokol pilihan sambungan PC ke PC kerana ia boleh bersambungan kepada UNIX secara langsung. Pada masa itu, kesemua universiti dan agensi kerajaan telah pun menggunakannya. Faktor ini menyebabkan semua pelayan Web dan pelayar Web menggunakan TCP/IP dan ini telah menjadi piawai di dunia.

TCP/IP menyediakan sambungan antara mesin ke mesin, sementara pelayar Web menjalankan protokolnya sendiri ke atas sambungan ini. Protokol khas ini dinamakan Hypertext Transfer Protocol atau “http” yang digunakan pada alamat (URL) laman Web. HTTP menyediakan mekanisma untuk membuka laman Web dari pelayan Web dengan menggunakan pelayar Web.

Pelayan Web pertama hanya menyediakan teks hiperlink kepada pelayar Web. Pada masa itu tidak terdapat grafik dan animasi pada laman Web seerpti ‘rollover button’. Laman Web ketika itu boleh dikatakan tidak terdapat sebarang grafik langsung. Walaupun terdapat perubahan yang radikal, namun konsep keseluruhan laman Web dan pelayar Web masih sama.

Pembikinan Laman Web. Laman Web sebenarnya hanya merupakan dokumen teks yang diatur di dalam set khas yang terdiri daripada ‘tag’. Tag merupakan kod atau simbol yang memberitahu bagaimana laman Web harus diformat. Tag ini mendefinisikan dalam dokumen laman Web bagi mendefinasikan sama ada sesuatu teks perlu digelapkan, italik atau digaris, sama ada teks atau imej adalah hiperlink, dan sama ada grafik perlu dipamerkan. Untuk menulis dokumen teks atau laman Web yang menggunakan tag ini, anda perlu menggunakan peraturan HTML (Hypertext Markup Language).

Biasanya, tag adalah berpasangan, permulaan dan penamat tag yang diapit dengan tanda < >. Sebagai contoh, <html> (permulaan tag) dan </html> (penutup tag) merupakan pasangan tag yang anda perlu sertakan pada permulaan dan penamat setiap laman Web. Tanda ‘foward slash’ ( / ) pada tag penutup membezakan antara dua tag tersebut. Walaubagaimanapun sesetengah tag seperti imej <img> dan hiperlink <a href> tidak memerlukan tag penutup.

Laman Web kini adalah sama seperti laman Web 10 tahun yang lalu, mengandungi dokumen teks yang mempunyai beratus-ratus tag yang mendefinisikan rupa bentuk laman Web tersebut. Jika anda hendak melihat tag HTML pada sesuatu laman Web, anda boleh berbuat demikian dengan memilih View > Source, jika anda menggunakan Internet Explorer. Jika anda menggunakan Netscape, anda boleh pilih View > Page Source. Satu tetingkap baru mempamerkan dokumen teks yang dibina menggunakan tag akan dibuka. Anda akan mendapati menyediakan kesemua kod di dalam satu laman Web secara manual bukanlah perkara mudah. Sebelum perisian bergrafik HTML diperkenalkan, kesemua kod disediakan menggunakan editor teks (Notepad).

Laman Web

Pelayar Web memainkan peranan untuk menjadikan teks dokumen ini sebuah laman Web berinteraktif yang dipenuhi dengan grafik dan pelbagai objek lain.

Tugas utama pelayar Web ialah untuk menterjemahkan dokumen HTML dan mempamerkan rupa bentuk laman Web kepada anda. Pelayar Web akan membaca dokumen teks, membaca kesemua tag, dan menterjemahkan tag berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh W3C (World Wide Web Consortium). W3C juga menerbitkan standard HTML untuk semua pembangun laman Web. Sejauh mana pembangun laman Web mematuhi peraturan ini menentukan bagaimana pelayar Web menterjemah sesuatu dokumen. Anda tentu pernah berhadapan dengan laman Web yang sama tetapi dipamerkan berbeza di dalam Internet Explorer dan Netscape. Ini semua bergantung kepada bagaimana pelayar Web mengendalikan tag tersebut.

Proses sebenar bagi mempamerkan sesuatu laman Web adalah lebih kompleks. Pelayar Web tidak hanya terus ‘mengambil’ laman Web yang lengkap dari pelayan Web untuk dipamerkan kepada pengguna. Ia perlu menjalankan analisa ke atas laman Web tersebut terlebih dahulu. Misalnya, pelayar Web perlu membaca dokumen tersebut dari tag <html> ke </html>, bagi menentukan aturan untuk membina struktur grafik sesuatu laman Web.

Di bawah ialah contoh tag asas yang terdapat di dalam sesuatu laman Web.

<html>
<head>
<title>Laman Web Saya</title>
</head>
<body>

Di bawah ini pula contoh kandungan dalam laman Web tersebut.

<p><ahref=”dirisaya.htm” mce_href=”dirisaya.htm”><img border=”0″src=”Images/gambar.jpg” mce_src=”Images/gambar.jpg” usemap=”#FPMap0″></a></p>

Jika anda lihat, tag <img> tidak memerlukan tag penutup. Tag <a href=> mewakili hiperlink, manakala <img dan src> memberitahu anda lokasi fail grafik.

</body>
</html>

Cuba anda semak pasangan tag yang terdapat pada keseluruhan laman Web ini. Tag-tag lain yang selalu dipakai adalah seperti tag jadual, gaya font dan lain-lain format.

Memilih Pelayar Web

Anda mempunyai banyak pilihan untuk memilih pelayar Web untuk kegunaan melayari Web. Anda tidak perlu setia menggunakan pelayar Web yang terdapat dalam sistem operasi komputer anda. Sesetengah pelayar Web beroperasi menggunakan platform khas di mana ia hanya boleh berfungsi menggunakan sistem Sun Solaris atau BeOS. Pelayar Web lain seperti Opera dapat beroperasi menggunakan pelbagai platform.

Microsoft dan Netscape merupakan dua syarikat menguasai pasaran pelayar Web. Dua vendor mewakili 94% dari akaun bagi pasaran pelayar Web, di mana Microsoft Internet Explorer diwakili oleh 76% dari jumlah tersebut. Dua pelayar Web lain yang popular ialah Opera dan NeoPlanet, mewakili peratusan selebihnya.

Sungguhpun peratusan ini menunjukkan Microsoft sebagai dominan ke atas pasaran pelayar Web, anda tidak patut tidak mengindahkan pelayar Web lain. Pasaran ini berubah setiap masa, di mana Opera telah mengumumkan rancangan tentang rekaan terbarunya iaitu Opera 5 untuk Windows pada Disember 1, 2000. Ini merupakan pelayar Web Opera secara percuma yang pertama diperkenalkan, dan ini boleh mengubah kedudukannya di dalam persaingan yang terdapat antara pelayar Web.

Jadi, pelayar Web mana yang patut anda pilih? Jangan hanya menggunakan pelayar Web yang terkandung di dalam sistem komputer anda. Cubalah menggunakan pelayar Web lain dan lihat perbezaannya. Anda perlu ingat yang anda tidak terhad menggunakan satu pelayar Web sahaja. Lebih mudah menggunakan beberapa pelayar Web dalam satu masa kerana ia boleh membantu anda membuka seberapa banyak laman Web serentak.

welcome to new generation of infomation sharing

Posted in new in website development on July 2, 2007 by y@+

selamat datang ke hazrat web blog, disini semua maklumat mengenai asas pembangunan web dikongsi bersama bagi pembangun laman web peribadi atau bisnes yang baru menceburi bidang pembangunan dan rekabantuk laman web.